“Amboi, anak mak ni, kerja sebulan dua, balik-balik terus mak dapat menantu. Cepat sungguh jodoh dia, langkah bendoi abang dia,”
“Hem..dah jodoh mak, nak buat lagu mana? Benda baik tak patut ditangguhkan. Betoi dak mak?” Hayati masih tidak melupakan slanga Kedahnya. Riak wajahnya yang menyimpan seribu kesedihan dan kelaraan cuba disembunyikan baik-baik jauh di lubuk hatinya supaya tidak timbul racun syak-wasangka daripada naluri seorang ibu.
Dia memandang dalam wajah ibu yang tercinta yang raghib meriaskan wajahnya. Sebelum ini,Puan Naemah banyak mendapat undangan untuk meriaskan wajah si anak gadis yang bakal bergelar raja sehari,tapi pada hari bersejarah ini, tibalah masanya untuk berkhidmat kepada anaknya sendiri pula.“Abang, Aya berterima kasih dengan abang sebab menjaga rahsia ni sampai bila-bila. Aya tak nak mak serta saudara-mara kita tahu tentang ni. Aya kasihan mereka kalau tahu Aya sebenarnya kena tangkap basah dengan lelaki yang Aya sendiri pun belum kenal sepenuhnya.”
“Abang sebenarnya kasihan dengan adik abang ni. Abang tahu Aya tak bersalah. Tapi, mampukah Aya hidup dengan lelaki yang Aya sendiri pun masih belum mengenalinya terlebih dahulu,?” Ada garis-garis kerisauan pada dahi Abang Hadi, abang kandungnya itu.
“Insya-Allah, Aya akan cuba abang,”
Hayati sempat berbual-bual dengan Abang Hadi sebelum dirinya dipersandingkan di atas pelamin. Dia bersyukur kerana masih memiliki abang kandung yang memahami dirinya. Segala masalah sering dikongsi bersama Abang Hadi. Dirinya berasa lebih bersalah sejurus melihatkan wajah ibunya yang berseri-seri kegembiraan sempena menyambut hari yang bersejarah dalam hidupnya itu. Mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang tidak pernah dicintainya bukanlah impian dan angan-angannya selama ini.
Majlis perkahwinannya diadakan di rumahnya sendiri memandangkan Imran Hadi merupakan anak tunggal yang hanya mempunyai datuk dan nenek sahaja, iaitu Datuk Yahya dan Datin Maznah. Hayati juga baru mengetahui bahawa ibu- bapa Imran Hadi telah meninggal dunia empat tahun yang lalu dalam nahas kapal terbang di Indonesia. Rombongan di pihak lelaki diwakili oleh Datuk Yahya sendiri serta menantunya,Datin Kareena yang merupakan ibu kepada Amar Irsyad. Hayati sempat memandu matanya memantau akan kehadiran Amar Irsyad,lelaki yang menyebabkan perkahwinannya yang tidak dirancang terjadi. Kelibat Amar tidak kelihatan di majlis tersebut.
* * * * * * * * * * * * *
Berita perkahwinan antara abang sepupunya dengan gadis yang mula dicintai amat mengejutkan Amar. Sudah berkali-kali Amar Irsyad memohon kemaafan di atas keterlanjurannya pada malam itu malah sanggup bertanggungjawab di atas perbuatannya ,tetapi gadis itu sering mengelak setiap kali hal itu cuba dibangkitkan. Dia pasrah gadis itu jatuh ke tangan abang sepupunya.
* * * * * * * * * * * * *
Majlis yang bersederhana tetapi meriah itu turut dihadiri oleh staf-staf pekerja Syarikat Bina Enterprise. Hayati sendiri yang meminta supaya majlis walimahnya diadakan secara sederhana sebagai memenuhi tuntutan oleh junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W. Dia ingin mencontohi walimah puteri Rasulullah dengan Ali B. Talib yang hanya mampu menjualkan baju besi untuk membiayai perkahwinan mereka.
Kedua-dua mempelai itu bagai pinang dibelah dua tatkala digandingkan di atas pelamin. Hayati dipakaikan busana rona kuning lembut yang membangkit seri terutama baginya yang berkulit cerah kekuningan. Sedondon dari hujung rambut ke hujung kaki dengan sulaman dari manik yang diperincikan secara teliti. Rekaan berkonsepkan jubah Thailand diserikan lagi dengan padanan layah dan tiara keemasan membangkitkan seri si pengantin perempuan.
* * * * * * * * * * * *
No comments:
Post a Comment