Jam ,loceng berbunyi mengejutkan Imran dari tidurnya. Terasa dahinya lembap dan kebasah-basahan dek kain yang terlekap di dahinya. Tangannya menggagau dahi lalu mengalihkan tuala kecil dari dahinya. Imran mengiring ke kanan. Dia terkejut apabila melihatkan sekujur tubuh terbaring tanpa selimut di sisinya. Ditatapnya penuh dalam wajah mulus itu. Lama.
Hayati kembali ke alam nyata. Dia baru sahaja berjaya melepaskan dirinya daripada mimpi ngeri. Bertambah ngeri lagi Hayati apabila sebaik sahaja membuka mata, terjengul wajah Imran mendekati wajahnya. Hayati melompat bangun. Imran melarikan wajahnya.
“Eh,apa awak buat dekat saya ni? Macam mana awak boleh tidur tepi saya ni?” Hayati menolak tubuh sasa Imran yang bersinglet itu.
“Eh, apa awak merepek ni? Siapa yang tidur tepi siapa ni? Takpun…Oo…awak yang sengaja suruh saya tidur atas katil semalam supaya awak pun boleh tidur tepi saya kan? Betul tak macam tu? Oo…sengaja nak ambil kesempatan kan? Hemm…” Imran meninggikan suaranya. Imran mengangguk-anggukkan kepalanya. Jari telunjuknya dihalakan tepat ke dahi gadis itu.
Hayati hilang kata-kata. Ingatannya ligat merakam semula peristiwa semalam.
“Eh..Eh..tolong sikit ye! Awak tu yang tarik tangan saya semalam. Lepas tu, siap cakap ‘jangan tinggalkan saya…jangan pergi.’ Kenapa? Awak tak ingat lagi? Muka awak semalam kesian sangat tau. Macam budak kecik,” Hayati mengajuk kata-kata Imran yang diucapkan padanya semalam.
Minda Imran ligat memikirkan kata-kata gadis itu. Masakan Hayati sanggup berbohong?
‘Betul ke apa yang aku cakap semalam tu?’getus hatinya. Rasa malu serta-merta menghambat dirinya.
Sebiji bantal tiba-tiba hinggap di kepala Hayati. Terkejut dengan tindakan drastik Imran, Hayati lantas mengambil bantal di tepinya lalu memukul Imran. Bertalu-talu Imran dipukul Hayati. Baru puas hatinya. Asyik dia sahaja yang selalu mengalah dengan lelaki itu. Dia tidak boleh lagi membiarkan dirinya terus dibuli oleh Imran. Imran dan Hayati saling berbalas pukulan. Dek kerana geram dengan tindakan Hayati yang tidak mahu mengalah,Imran mengeluarkan kudrat lelakinya. Dia lantas menerkam Hayati membuatkan Hayati terjelepuk di dalam pelukannya. Hayati serta-merta menolak dada bidang Imran dari dirinya. Dia lantas membangunkan tubuhnya yang terbaring dalam pelukan Imran. Sakit bahu dan perutnya kerana ditekan lelaki itu. Hayati tiba-tiba mengerengkot kesakitan. Beberapa kali ditekan perutnya itu.Sakit sengal-sengal itu bergerak ke bawah perut dan pinggul. Imran bagaimanapun masih berlagak selamba. Pada anggapannya, mesti Hayati berpura-pura sakit supaya dia akan rasa bersalah dan kasihan pada wanita itu. Namun,reaksinya bertukar serius tatkala melihat keadaan Hayati yang masih berlarutan kesakitannya.
“Aya! Kenapa dengan awak ni? Takkan sebab saya tertekan perut awak sampai jadi macam ni?” Imran menggelabah. Hayati menolak lembut tangan Imran yang cuba menyentuh perutnya. Dia sendiri faham benar akan simptom-simptom tersebut.
“Sa…kiiiit…” Hayati tidak mampu menggerakkan tubuhnya sedikitpun. Kekejangan pada perut cuba di tahannya dengan menekap sebiji bantal pada perutnya itu. Sekejap-sekejap mukanya berkeriut menahan kesakitan yang bertandang. Kekejangan bertandang lagi. Hayati tidak mampu bergerak lagi. Dia membaringkan tubuhnya di atas katil setelah menyapu minyak angin yang diberikan oleh Imran. Kesakitannya semakin beransur-ansur hilang.
Imran yang masih dalam kebodoh-bodohan itu mengatur langkah ke bilik air untuk membersihkan diri. Matanya masih melirik pada sekujur tubuh Hayati yang terbaring lesu di atas katil. Pelik dirinya kerana tidak pernah dia melihat keadaan Hayati yang sakit seperti tadi. Adakah kesakitan itu berpunca daripada dirinya yang bertindak kasar terhadap gadis itu? Atau, Hayati mempunyai penyakit lain yang cuba dirahsiakannya? Hati Imran terus berteka-teki.
“Aya…Aya…awak tak solat subuh ke? Dah nak habis waktu ni,” Imran cuba membangunkan Hayati yang terbaring lemah sambil tangannya menepuk-nepuk bahu Hayati. Tiada jawapan dari wanita itu. kemudian, dia bersuara. Lemah.
“Awak pergilah solat. Saya tak boleh bangun lagi ni,”Hayati cuba mencipta alasan.
* * * * * * * * * * * * * * * * *

No comments:
Post a Comment