Bunyi deringan telefon bimbit mengganggu tidurnya.Kain tuala kecil yang lembab dialihkan dari dahinya. Dengan lagak kemalas-malasan,Imran gagah mencapai telefon bimbit di atas meja. Satu mesej telah masuk ke dalam inbox telefon bimbit Hayati. Dirinya serba-salah sama ada untuk membaca atau tidak mesej tersebut. Namun, ketidaksabaran sudah mula menguburi tangkai hatinya untuk membaca mesej tersebut apabila tertera nama penghantar ialah Amar. Imran membeku diatas sofa. Pandangannya sekali lagi tertancap pada skrin telefon bimbit Hayati.
‘Hayati,sy mntak maaf skali lg dgn awk. Awak jgnlah simpan perkara tu dlm hati awk lg,ye? Klau awk tak dpt maafkan sy, sy akan terus rasa bersalah. Lagipun, sy bukanlah sengaja nak buat benda macam tu dekat awk sungguhpun sy ni terkenal dengan sikap playboy. Untuk pengetahuan awk, sy dah banyak berubah setelah mengenali awk,Hayati. Awaklah satu-satunya wanita yang berjaya merubah diri sy,’
Imran tidak dapat menipu dirinya sendiri. Dia akui bibit-bibit cemburu sudah mula bersarang dalam lubuk atmanya. Dilepaskan kembali telefon bimbit ke atas meja. Segala pening dan sakitnya sudah tidak dihiraukan lagi. Setelah memadam mesej yang dihantar Amar,dia bingkas bangun mencari sesusuk tubuh yang tidak kelihatan sejak dari tadi. Segenap ruang rumah dicarinya kelibat wanita itu. Di taman,tiada. Di bilik juga tidak kelihatan.Imran membawa kakinya melangkah ke dapur tatkala terdengarkan sesuatu. Tepat sangkaannya. Bibirnya segera dimaniskan. Imran mengatur langkah perlahan-lahan. Dengan pantas,Imran mencuit pinggang wanita itu.
Tindakan drastik Imran mengundang bahana pada dirinya sendiri.Hayati tersentak dan terkejut tanpa disengajakan,dia telah menumpahkan sesenduk kuah sup yang sedang menggelegak ke atas lengan lelaki itu. Apalagi,Imran meraung tanpa dipaksa membuatkan gadis itu serba salah.
“Imran! Saya ingatkan siapa tadi? Saya mintak maaf, saya tak sengaja…lagipun, awak yang cuit pinggang saya. Saya mintak maaf,”
Sudah berkali-kali perkataan maaf keluar menerusi bibir mungil wanita itu. Masakan tidak,habis separuh daripada lengan Imran merah dan melecur. Hayati pantas berlari mendapatkan sesuatu di dalam almari dapur. Imran mati kata tatkala melihatkan reaksi Hayati yang tekun menuangkan susu pekat manis F&N ke atas lengannya yang melecur. Sesekali terdengar jeritan kecil daripada Imran. Sakit. Hayati terus dengan tindakannya itu tanpa menghiraukan jeritan Imran. Lengan Imran yang melecur haruslah segera disapu susu supaya keadaan tidak bertukar lebih buruk. Imran curi-curi memandang wajah mulus gadis di hadapannya itu. Tekun.
“Awak ni…kenapa cuai sangat?”
“Maaflah Imran,awak yang buat saya terperanjat. Lagipun, saya tak sengaja,” Hayati cuba membela diri. Seronok pula Imran tatkala melihatkan Hayati yang terkial-kial membantu dirinya.
“Atuk dengan nenek mana? Dari tadi tak nampak-nampak pun?”
“Atuk dan nenek pergi ke majlis kenduri kesyukuran kawan mereka. Dah dekat sejam dah mereka pergi.Nenek suruh saya tengok-tengokkan awak ” Hayati ligat mengatur kerja-kerjanya setelah selesai menuangkan susu ke atas lengan Imran. Lauk-pauk disediakan di atas meja. Imran melabuhkan punggungnya di atas kerusi sambil matanya tidak lepas memerhatikan Hayati. Sesekali kedengaran Imran melepaskan batuk. Hayati muncul dengan segelas minuman sambil mengambil tempat duduk bertentangan Imran.
“Air apa ni?”
“Ni, air halia. Minumlah. Air halia ni boleh mengurangkan rasa panas dalam badan pastuh dapat menghilangkan batuk jugak,”
Imran memandang beberapa saat gelas tersebut sebelum meneguknya.
“Oh ya,Imran. Tolonglah hirup sikit sup ni. Sup ayam ni baik untuk pesakit demam macam awak ni,”
“Awak ni kan,pernah jadi bidan kampung ke sebelum ni?”
Imran hanya tersenyum sinis sambil memandang sekilas ke arah gadis itu. Inderanya dipantulkan semula ke tempat lain.
“Tak adalah. Mak saya selalu sediakan macam ni mase saya demam dulu.. Macam mana lengan awak? Rasa ok sikit?” Imran sedikit kaget namun membiarkan sahaja Hayati membelek-belek lengannya.
Hayati tidak mengendahkan sikap acuh tak acuh lelaki itu.Dia sudah masak benar dengan fiil Imran. Cuma, Hayati perasan akan penggunaan perkataan ‘awak’ sudah mula melekap pada bibir Imran sejak akhir-akhir ini. Perkataan ‘aku’ nampaknya kian terhakis.
*********************************

No comments:
Post a Comment